Oleh Nurdiyanah R.
Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) sekali lagi meraih pencapaian berprestij apabila menerima pengiktirafan dalam International Energy Globe Awards 2021 selaku pemenang kebangsaan menerusi perlaksanaan cemerlang sekolah dalam Outdoor Discovery Centre (ODC), baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh JIS, pengumuman membanggakan itu telah disampaikan semasa berlangsungnya majlis anugerah di Kuala Lumpur pada 20 Disember lalu.
Terdahulu, Pengetua JIS, Nicholas Sheehan merakamkan kegembiraan di atas pencapaian yang diperoleh oleh pihak sekolah dan pasukan ODC yang telah menerima anugerah yang sememangnya diiktiraf di peringkat global sekali gus menandai kepentingan anugerah demi kemampanan alam sekitar di seluruh dunia amnya dan di negara ini khususunya.
Menerusi penerimaan anugerah berkenaan adalah bagi kejayaan projek JIS yang menjurus kepada matlamat mengatasi peningkatan pelepasan karbon yang dihasilkan oleh perjalanan udara antarabangsa dan bas sekolah melalui pengimbangan karbon.
Ini dilakukan melalui usaha penghutanan semula yang memastikan perlindungan hutan panas tropika di Negara Brunei Darussalam, iaitu menggantikannya dengan spesies pokok akasia invasif.
Melalui ODC ini, ia membolehkan pelajar JIS menemui dan memahami kepentingan pembangunan mampan melalui amalan penghutanan semula dan untuk meningkatkan kesedaran perubahan iklim. Dalam pada itu, sepanjang lima tahun kewujudan ODC di JIS, dianggarkan 11,000kg karbon dioksida telah diserap dan lebih 40 pokok telah ditanam.
Mantan Ketua Pelajar JIS, Dayang Jazie Zaini yang kini sebagai penyelaras ODC sekolah berkenaan semasa berucap dalam penerimaannya, antaranya merakamkan penghargaan terima kasih kepada kementerian-kementerian di Negara Brunei Darussalam di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan selama ini kepada pihak sekolah.
Antaranya, sokongan padu daripada Jabatan Perhutanan Brunei yang telah menderma pokok untuk menjayakan projek ini dan begitu juga Universiti Brunei Darussalam dalam memberi peluang kepada mereka untuk berkolaborasi melaksanakan projek pemulihan di paya gambut Badas.
Selain itu, Green Brunei turut menjemput mereka untuk menyertai projek penanaman pokok dan Sekretriat Perubahan Iklim Brunei atas sokongan dan dorongan berterusan untuk sama-sama membantu mereka mencapai matlamat negara terutamanya dalam memupuk kesedaran dan meningkatkan pendidikan mendalam berkaitan dengan perubahan iklim usaha mitigasi dan penyesuaiannya dalam sektor pendidikan.