Pelakon dan penyanyi Korea Selatan, JISOO telah membuat kemunculan solonya dengan acara pertemuan bersama para peminat sebagai tanda penghargaan kepada mereka.
Menurut allkpop, pada 14 Februari, JISOO mengadakan acara istimewa bertajuk “SOO IN LOVE” di CGV Cheongdam Cinecity, Seoul, bagi meraikan pelancaran album mini terbarunya AMORTAGE.
Acara tersebut diadakan pada hari yang sama kemunculan semula solonya, memberikan peminat pandangan eksklusif mengenai album fizikal serta rakaman di sebalik tabir lagu utama earthquake.
JISOO juga mencipta kenangan indah bersama peminat dengan merakam video cabaran tarian bersama mereka.
Meluahkan rasa terujanya, JISOO berkata, “Saya telah mencurahkan banyak usaha dalam setiap perincian album ini, dan kini ia akhirnya dilancarkan. Saya berasa amat bersyukur dan gembira atas segala kasih sayang dan sokongan yang diberikan.”

Sepanjang acara, JISOO turut menjelaskan konsep foto album, memperkenalkan kesemua empat lagu dalam album dan berkongsi proses kreatifnya.
Dia juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pelakon Cha Seung Won, yang membuat penampilan istimewa dalam muzik video, serta menggoda peminat dengan kandungan persembahan yang bakal datang, menambahkan lagi keterujaan.
Sementara itu, AMORTAGE telah mencipta pelbagai rekod baharu, termasuk menduduki tempat pertama dalam Carta iTunes Seluruh Dunia, tempat pertama dalam carta muzik digital tahunan China, serta tempat pertama dalam senarai muzik trending YouTube.
Selain itu, akaun TikTok JISOO menjadi yang terpantas dalam kalangan artis wanita Korea untuk mencapai tujuh juta pengikut dan video persembahannya di Inkigayo terus meraih tontonan tinggi.
Selepas promosi kemunculan ini, JISOO akan memulakan jelajah peminat 2025 di tujuh bandar Asia, termasuk Manila, Bangkok, Tokyo, Macau, Taipei, Hong Kong dan Hanoi membawa muzik dan persembahannya lebih dekat kepada peminat di seluruh dunia. – Agensi