Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jiujitsu corak masa depan kanak-kanak Brazil

    RIO DE JANEIRO – Di sebuah kawasan setinggan yang terletak di atas bukit yang dihimpit antara dua kawasan kejiranan terkaya di Rio de Janeiro, kanak-kanak sedang berlatih seni bela diri Brazil jiujitsu, berharap untuk mengikuti jejak langkah tokoh-tokoh tali pinggang hitam yang potret mereka dilukis dengan grafiti menghiasi dinding gimnasium.

    Jiujitsu Brazil telah memberikan laluan kepada kebanyakan kanak-kanak dari lorong-lorong di Cantagalo, favela yang miskin di mana pondok-pondok didirikan di mana-mana kawasan sehingga ke bawah bukit antara kawasan kejiranan pantai mewah Copacabana dan Ipanema.

    Guru jiujitsu, Douglas Rufino yang kelihatan sedang berehat daripada mengajar teknik memegang dalam seni jiujitsu kepada sekumpulan budak lelaki yang sedang bergelut di atas tikar, beliau mengatakan bahawa dia telah melihat sukan itu secara harfiahnya menyelamatkan kehidupan kanak-kanak di kawasan itu.

    “Saya boleh katakan ia juga menyelamatkan saya,” kata Rufino, 41.

    “Saya boleh saja mengikut jalan lain di sini di komuniti ini,” sebuah kawasan yang penuh dengan kumpulan narkotik dan keganasan, katanya.

    Pengajar seni bela diri jiujitsu, Cleber Ferreira (kiri) dan atlet jiujitsu, Beatriz Freitas (kanan) semasa sesi latihan di Kelab Laranjeiras Jiujitsu di Rio de Janeiro, Brazil. – AFP

    Sebaliknya, penduduk asli Cantagalo itu berjaya memenangi kejuaraan dunia kelas lightweight pada 2006. Wajahnya adalah antara yang dilukis di dinding gimnasium itu, ia adalah sebuah hall of fame yang bertujuan untuk memberikan penghormatan kepada pemegang tali pinggang hitam terhebat favela tersebut.

    Rufino telah mengajar selama 20 tahun di gimnasium jiujitsu Cantagalo, sebagai sebahagian daripada projek yang diasaskan pada tahun 2000 untuk menyebarluaskan manfaat sukan itu, yang sangat popular di Brazil, untuk membantu kanak-kanak di favela.

    “Idea asalnya adalah untuk memberikan mereka masa depan yang lebih baik dan peluang untuk menjadikan jiujitsu sebagai sumber pendapatan,” kata Rufino.

    Sekolah itu telah melahirkan ramai juara dan para alumni kini mengamalkan dan mengajar jiujitsu Brazil di Portugal, Singapura, Sweden dan Amerika Syarikat (AS).

    Selain daripada mengajar teknik menjatuhkan, memegang dan menewaskan lawan, program itu juga bertujuan untuk menyampaikan nilai-nilai murni kehidupan.

    “Ramai kanak-kanak datang ke sini dengan sifat yang bermusuhan. Tetapi mereka pergi dengan disiplin, kerana itulah jiujitsu: menghormati dan disiplin,” kata pelajar berusia 17 tahun, Fabiano dos Santos Guedes.

    Ia mengambil latihan beberapa tahun untuk menjadi ahli tali pinggang hitam, tetapi Guedes tidak teragak-agak.

    “Saya suka datang berlatih. Impian saya adalah untuk menjadi juara dunia dan tinggal di luar negara,” katanya.

    Di kawasan kejiranan Laranjeiras, juara kelas lightweight Brazil, Beatriz Freitas berkata dia mempunyai impian yang serupa dan melihat manfaat yang sama dalam jiujitsu, yang dia mula pelajari tiga tahun lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda