Senyuman manis yang sentiasa terukir dan gelak tawa sepanjang temu bual seolah-olah menggambarkan tiada sekelumit pun rasa sedih menyelubungi hati aktres jelita, Diana Danielle, ketika ini.
Malah, ketika Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Subang mengesahkan perceraiannya dengan bekas suami iaitu pelakon den pengarah, Farid Kamil pada 10 Ogos lalu, Diana tenang dan tidak menitiskan air mata.
Meskipun pada zahirnya wanita ini tampak tabah, gundah dalam hati, tiada siapa tahu.
Bertemu Diana pada majlis pelancaran single terbaharunya Bersama Dengan Rindu, baru-baru ini, dia ibarat pesalah cinta yang sedang menanti untuk dihakimi.
Banyak perkara dikongsi pelakon berdarah kacukan Melayu dan Inggeris ini.
Antaranya mengenai pengalaman menjalani hidup sebagai ibu tunggal dan beberapa cerita ‘panas’ yang menghambat sepanjang fasa baharu dalam hidupnya ini.
Tanpa berselindung, Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson, 32, mengakui dirinya seperti wanita lain yang senasib. Dia tidak mampu menahan emosi tatkala berdepan situasi sukar seperti itu.
“Situasi sekarang cukup getir buat saya. Dalaman saya sangat rapuh dan jiwa amat sensitif.
“Tidak dinafikan saya agak kekok untuk menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal. Sebelum ini, saya ada pasangan yang boleh diajak untuk berbincang apa sahaja.
“Tetapi, hendak buat macam mana. Ini adalah pilihan saya dan sedang belajar untuk menyesuaikan diri dengan situasi ini.
“Saya bersyukur dapat sokongan daripada banyak pihak termasuk keluarga, rakan, media dan peminat.
“Macam inilah, apa yang saya lalui tidak seteruk orang lain. Saya sering membandingkan nasib saya dengan apa yang dilalui mereka di luar sana.
“Mungkin orang itu tidak ada pekerjaan atau tidak punya sesiapa untuk menjadi tempat bergantung.
“Saya pula ada kerjaya bagus dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak. Jadi, kesusahan ini saya anggap tidaklah sebesar mana dan masih mampu untuk tanganinya,” katanya kepada BH Online.
Mendasari hati Diana mengenai reaksi terhadap kecaman warganet yang menilai tanpa tahu kedudukan sebenar, bintang filem Imaginur ini mengaku hatinya terguris.
“Ada ketika, apabila saya secara tidak sengaja membaca komen warganet, perkara itu mengganggu juga. Saya manusia biasa. Saya tidak boleh berpura-pura untuk tidak menghiraukannya. Ia (kecaman) mengguris perasaan saya.
“Tapi hendak buat macam mana? Nak tak nak, kenalah hadam. Saya lihat perkara itu dari sudut yang lebih besar.
“Orang akan cakap apa sahaja. Sebagai anak seni, kita kena belajar terima hakikat sama ada baik atau buruk,” kata aktres kelahiran, Houston, Texas, Amerika Syarikat (AS) ini. – Agensi