Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Seramai 64 anggota keluarga Jurai Keturunan Ahmad (JKA) telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran 79 kali Khatam, kelmarin, sebagai menzahirkan kesyukuran sempena sambutan perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79.
Di majlis itu, Haji Mohd Yussof bin Haji Mohd Salleh selaku tetamu khas dalam ucapannya melahirkan rasa bangga atas majlis bertadarus Al-Quran yang berterusan anjuran keluarga JKA di samping sama-sama melibatkan dalam memeriahkan sambutan perayaan sempena Hari Keputeraan.
“Majlis ini sangat bermanfaat dalam sama-sama merafakkan rasa kesyukuran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-79 tahun di samping meningkatkan ibadah yang sekali gus membantu merapatkan hubungan kekeluargaan, ”jelasnya.
Turut menyertai di majlis yang diadakan di Beribi itu, Penaung JKA, Yang Dimuliakan Pehin Jurulatih Adat Istiadat Diraja Dato Paduka Haji Awang Mashhor bin Haji Awang Metahir dan Yang Arif Dato Seri Setia Ustaz Haji Mohd. Zaimi bin Talib.
Majlis 79 Kali Khatam Al-Quran itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu khas dan diikuti dengan bacaan surah-surah lazim yang bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga An-Nas yang diketuai oleh Haji Awang Jasni bin Haji Abdul Latif.
Manakala bacaan Takhtim Al-Quran dan Tahlil secara beramai-ramai diketuai oleh Awang Haji Jamil bin Haji Abdul Ghani yang juga memimpin membaca Doa Khatam dan doa Kesyukuran Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam
Majlis diserikan dengan Dikir Asraqal dan Marhaban oleh peserta Khatam Al-Quran diketuai oleh Haji Awang Jasni.


