Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    JKDM rampas minuman keras bernilai lebih RM1.5 juta

    KOTA KINABALU, 4 JUN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas tiga kontena minuman keras dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta termasuk duti dan cukai dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran di Pelabuhan Sepanggar pada 24 April lepas.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata rampasan dibuat antara 10:50 pagi dan 3:39 petang apabila anggota JKDM mendapati imej pada mesin imbasan dalam kontena itu meragukan.

    “Modus operandi yang dipercayai didalangi sindiket penyeludupan ini ialah memalsukan maklumat dengan mengisytiharkan barangan itu sebagai pemegang telefon bimbit, barangan rumah dan jengkaut,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan JKDM hari ini.

    Beliau berkata siasatan tertumpu kepada ejen perkapalan kerana barangan diisytiharkan dalam kontena itu berbeza dan tidak mematuhi peraturan yang digariskan.

    Sementara itu dalam Ops Tuai yang dijalankan pada 22 hingga 29 Mei lepas, JKDM Sabah merampas pelbagai jenama minuman keras, rokok, dua buah lori dan kereta Perodua Viva yang dianggarkan bernilai lebih RM450,000 termasuk duti dan cukai.

    Mohd Nasir berkata dalam operasi selama lapan hari itu, lima individu termasuk seorang warganegara asing berumur antara 19 hingga 41 ditahan bagi membantu siasatan. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda