KUCHING, 15 JULAI – Taktik penyeludupan dadah dengan menyorok pil ekstasi bernilai hampir RM1 juta dalam bekas menyerupai produk makanan tambahan ‘Vitamin C 1000 tablets’ berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata cubaan menyeludup dadah jenis pil ekstasi seberat 5.23 kilogram ke Sibu itu telah berjaya ditumpaskan menerusi rampasan di sebuah syarikat kurier pada 20 Jun lepas.
“Hasil risikan dan intipan selama tiga hari mendapati tiada pihak tampil menuntut bungkusan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 12 bekas plastik berlabel ‘Vitamin C 1000 tablets’ yang mengandungi bungkusan aluminium berisi pil berbentuk watak animasi Doraemon disyaki dadah jenis ekstasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norizan berkata dadah dianggarkan bernilai RM1,002,000 berdasarkan harga pasaran semasa itu diseludup menggunakan mod operasi penghantaran kurier melalui udara dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama
