Monday, July 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    JKED hos Mesyuarat Ketua Pengarah Kastam ASEAN ke-34

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah menghoskan Mesyuarat Ketua Pengarah Kastam ASEAN ke-34 yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam, hari ini.

    Perasmian mesyuarat berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

    Dalam rakaman ucapan pada majlis berkenaan, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina menyatakan dengan Kastam ASEAN berkembang melalui fasa pemodenan dan kerjasama serantau yang penting, kita diingatkan mengenai tanggungjawab kolektif mereka iaitu untuk bekerjasama dengan tujuan, berkhidmat dengan integriti serta memimpin dengan berpandangan jauh.

    “Sambil kita meneruskan dialog yang membina dan menerima tanggungjawab kita bersama, saya mengalu-alukan semua orang untuk terlibat secara aktif dan mengambil bahagian dalam perkongsian pengetahuan dan pengalaman untuk manfaat kita bersama.”

    Memandangkan perkembangan terkini mengenai langkah tarif yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat (AS), ulasnya lagi, kita diingatkan mengenai kerumitan dan ketidakpastian yang terus membentuk landskap perdagangan global.

    Gambar ramai ketua-ketua delegasi bagi Mesyuarat Ketua Pengarah Kastam ASEAN ke-34. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Rakaman ucapan Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina pada mesyuarat berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Awang Muhammad Azizil Hakim menyampaikan kata alu-aluannya pada mesyuarat berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    Dalam hubungan itu, perkembangan berkenaan menekankan kepentingan perpaduan ASEAN dan peranan pentadbiran kastam dalam melindungi aliran perdagangan serta menyokong daya tahan ekonomi.

    Oleh itu, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina menyeru semua untuk bersama-sama menegakkan prinsip keterbukaan, keadilan dan saling menghormati dalam perdagangan antarabangsa.

    Mesyuarat itu dihadiri oleh kira-kira 90 delegasi daripada 10 pentadbiran kastam negara anggota ASEAN, Timor-Leste, Sekretariat ASEAN dan rakan-rakan dialog ASEAN termasuk Australian Border Force, Kastam China, Kastam Jepun, Kastam Korea, Organisasi Kastam Sedunia (WCO), Majlis Perniagaan AS-ASEAN, Majlis Perniagaan EU-ASEAN serta Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengawal JKED, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim menekankan pentingnya memajukan kolaborasi dan pemodenan kastam untuk mencapai matlamat Visi Komuniti ASEAN 2025.

    Beliau juga mengetengahkan perkembangan signifikan yang dibuat di bawah Pelan Strategik bagi Pembangunan Kastam (SPCD) 2021-2025 terutamanya dalam memudahcara perdagangan dan transformasi digital sambil menggariskan inisiatif-inisiatif akan datang bagi 2026-2030.

    Mesyuarat yang dijadualkan diadakan dari 3 hingga 5 Jun berkenaan, bermatlamat untuk mengukuhkan kerjasama kastam serantau dan memajukan integrasi ASEAN menerusi inisiatif-inisiatif utama seperti ASEAN Single Window dan Sistem Transit Kastam ASEAN.

    Mesyuarat juga menumpukan kepada meningkatkan pemudahcara perdagangan menerusi prosedur diperkemas, kecekapan pengawalseliaan dan dasar-dasar inklusif untuk menyokong PMKS teramsuk program-program AEO khusus.

    Di samping itu, mesyuarat akan menangani transformasi digital, peningkatan pengurusan risiko dan penguatkuasaan yang lebih kukuh untuk membanteras penyeludupan dan memastikan kepatuhan.

    Konsultasi dengan rakan-rakan dialog dan sektor swasta juga akan diadakan untuk mengumpul cadangan dan menyelaraskan usaha kastam serantau dengan standard global.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda