Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Negara Brunei Darussalam dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengadakan Mesyuarat Kerjasama Dua Hala ke-10 bagi membincangkan isu-isu kemajuan terkini bagi kedua-dua pentadbiran kastam yang berlangsung di Hotel Radisson, di ibu negara, kelmarin.

Menurut kenyataan JKED, hari ini, mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, JKED, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, JKDM, Yang Berbahagia Dato’ Sazali bin Mohamad.
Mesyuarat itu dihadiri oleh para pegawai kanan JKED dan JKDM bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama bagi meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai aspek terutama dalam usaha bersama memudah cara perdagangan rentas sempadan tanpa mengetepikan keselamatan pergerakan barangan yang melalui pos-pos kawalan serta pengawalan yang berkesan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang tidak diinginkan seperti penyeludupan barang di sempadan dan perairan negara.

