Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    JKED rampas barangan tegahan, tiga ditahan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) berjaya membanteras aktiviti penyeludupan barang-barang tegahan melalui pemeriksaan di laluan masuk Pos Kawalan Sungai Tujoh dan gerakan operasi Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang di kawasan Kampung Pintu Malim.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, di sini, menyatakan hasil pemantauan dan pemeriksaan pegawai-pegawai JKED di Pos Kawalan Sungai Tujoh kelmarin, telah berjaya menumpaskan satu percubaan menyeludup barang-barang tegahan dengan menahan seorang lelaki penduduk tetap berumur 34 tahun.

    Barang-barang tegahan yang dirampas ialah 150 karton rokok, 948 tin minuman keras dan sebuah kenderaan yang digunakan membawa barang-barang tegahan berkenaan.

    Manakala itu, pada hari yang sama, satu operasi gerakan yang dilaksanakan oleh pegawai-pegawai penguatkuasaan JKED di kawasan Kampung Pintu Malim, Brunei Muara, telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 25 tahun dan seorang lelaki warganegara asing berumur 34 tahun.

    Barang-barang tegahan yang dirampas ialah satu bungkusan mengandungi bahan yang disyaki dadah yang terkawal, 1,724 karton rokok dan dua buah kenderaan yang digunakan membawa barang-barang tegahan berkenaan.

    Kesemua barang-barang tersebut telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang, JKED untuk siasatan lanjut. Manakala bungkusan yang disyaki dadah terkawal telah diserahkan kepada pihak Biro Kawalan Narkotik untuk siasatan dan tindakan lanjut agensi berkenaan.

    JKED menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan larangan kastam.

    Memiliki barang-barang tengahan kastam adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

    Barangan tegahan yang disembunyikan di dalam kenderaan yang berjaya dikesan di laluan masuk Pos Kawalan Sungai Tujoh.- GAMBAR SERAHAN JKED
    Antara barang-barang tegahan yang telah dirampas di kawasan Kampung Pintu Malim. – GAMBAR SERAHAN JKED

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda