Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    JKED sertai mesyuarat Kastam BIMP-EAGA ke-16

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Brahim bersama dengan pegawai-pegawai kanan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah mewakili Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kastam BIMP-EAGA ke-16, yang berlangsung di sebuah hotel di Kuching, Sarawak, Malaysia baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED hari ini, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Wira Anis Rizana binti Mohd Zainudin.

    Mesyuarat Ketua-Ketua Kastam BIMP-EAGA ke-16 turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Pengarah Kastam dan Pegawai-Pegawai Kanan Kastam BIMP-EAGA, BIMP-EAGA Facilitation Centre (BIMP-FC), BIMP-EAGA Business Council (BEBC) dan Asian Development Bank (ADB).

    Pada mesyuarat itu, antara perbincangan utama ialah mengenai projek-projek di bawah BIMP-EAGA Trade Facilitation Cluster, Kumpulan-Kumpulan Kerja Kastam (Customs Working Group), rundingan dengan pihak swasta melalui BEBC mengenai cadangan projek bersama serta bantuan teknikal yang diberikan oleh ADB.

    Awang Muhammad Azizil Hakim mewakili Delegasi NBD menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kastam BIMP-EAGA Ke-16. – GAMBAR SERAHAN JKED

    Antara keputusan utama mesyuarat berkenaan ialah menjadikan Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) Kuching, Sarawak, Malaysia sebagai Pusat Latihan BIMP-EAGA (BETC), yang berperanan sebagai pusat latihan utama bagi Pentadbiran Kastam negara anggota BIMP-EAGA.

    Ahli mesyuarat turut menghadiri majlis perasmian BETC, yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Wira Anis Rizana dan seterusnya menerima taklimat ringkas serta meninjau kemudahan latihan yang disediakan.

    AKMAL juga merupakan sebuah Pusat Latihan Serantau yang diiktiraf oleh World Customs Organization (WCO).

    Ahli mesyuarat juga mempersetujui bahawa mesyuarat seterusnya akan diadakan sekali setiap dua tahun dengan sesi berikutnya dijadualkan berlangsung di Filipina pada 2027.

    Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam mesyuarat itu mencerminkan komitmen berterusan JKED dalam menyokong agenda BIMP-EAGA untuk memperkukuhkan integrasi ekonomi serantau, memudah cara perdagangan serta mempererat kerjasama antara negara anggota BIMP-EAGA.

    GAMBAR SERAHAN JKED
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda