BANDAR PERMAISURI, 24 FEB – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merampas sejumlah gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata yang dianggar bernilai RM1,300 di premis jualan dan borong di tiga daerah setakat ini, kata Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong.
Beliau berkata rampasan di Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu itu dilakukan berikutan kesalahan melanggar syarat pelabelan yang ditetapkan.
“Pasukan penguat kuasa Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan telah melakukan pemeriksaan ke atas premis jualan dan borong di daerah berkenaan dan menyita produk terbabit di premis-premis berkenaan.
“JKNT akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas keselamatan makanan serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Peringkat Negeri Terengganu di Sungai Tong, dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Kasemani berkata sebanyak 565 kes kanser baharu dilaporkan di negeri ini tahun lepas dengan 321 daripadanya melibatkan golongan wanita manakala selebihnya lelaki.
“Lima kes kanser tertinggi di negeri ini ialah kanser kolorektal atau kanser usus besar dengan 104 kes (18.4 peratus) diikuti kanser payudara 88 kes (15.6 peratus), kanser paru-paru 63 kes (11.2 peratus), leukemia 31 kes (5.6 peratus) dan kanser tiroid 29 kes (5.1 peratus),” katanya.
Beliau berkata bagaimanapun kanser payudara masih mencatatkan kes tertinggi bagi golongan wanita iaitu 87 kes, diikuti kanser kolorektal 48 kes.
Gaya hidup tidak sihat seperti pemakanan tidak seimbang, katanya dikesan antara penyumbang kepada peningkatan kes terutama kanser kolorektal di negeri ini. – Bernama