JKNS disaran lancar kempen cegah bunuh diri

KOTA KINABALU, 26 NOV – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) disarankan supaya melancarkan kempen pencegahan bunuh diri COVID-19 yang dikenali sebagai ‘Save Life Hotline’, kata ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api Datuk Christina Liew.

Beliau yang juga bekas timbalan ketua menteri Sabah berkata cadangan talian untuk menyelamatkan nyawa itu dapat melengkapkan Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS).

Liew terpanggil membuat cadangan itu berikutan kejadian cubaan bunuh diri oleh seorang remaja perempuan yang berjaya diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah pada Rabu.

“Talian itu akan dikendalikan oleh kaunselor profesional dengan menyediakan khidmat kaunseling atau memberi cadangan lebih baik kepada mereka yang mengalami kesulitan khususnya kehilangan pekerjaan dan memerlukan bantuan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Mereka yang tertekan perlu mendapatkan bantuan profesional, sama ada dari segi emosi atau sokongan sosial, nasihat, bantuan kewangan atau rawatan kesihatan mental tertentu dalam situasi gelombang ketiga pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama

Anggota polis meminta seorang penduduk supaya membuat saringan COVID-19 secara percuma dalam Program Inisiatif Bersepadu Mengekang Penularan COVID-19 di Kampung Bahagia, Sandakan. Dalam pada itu, JKNS Sabah turut disaran melancarkan kempen cegah bunuh diri bagi menyelesaikan masalah tekanan akibat koronavirus. – Bernama