Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    JKP anjur taklimat kerjaya pelancongan dan hospitaliti

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Usaha terus dilaksanakan secara aktif oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) bagi memperkasakan para pelajar ke arah kerjaya masa depan menerusi penyertaan mereka dalam program Kementerian Pendidikan, Program Hala Tuju dan Eksplorasi Kerjaya 2025, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan JKP, jabatan berkenaan telah menjalankan beberapa siri ceramah kerjaya di beberapa buah institusi pendidikan utama termasuk Maktab Anthony Abell Seria, Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Abu Bakar Kuala Belait, SM Sultan Sharif Ali dan SM Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

    Sesi berkenaan itu dihadiri oleh lebih 208 pelajar Travel and Tourism dan Food and Nutrition, memberikan mereka pandangan yang berharga ke dalam pelbagai peluang kerjaya dalam industri pelancongan dan hospitaliti.

    Sesi taklimat berkenaan mengetengahkan perancangan pembangunan kerjaya praktikal, menyediakan para pelajar dengan pemahaman komprehensif dinamik sektor pelancongan dan hospitaliti serta menyediakan peta jalan yang jelas bagi bakal-bakal profesional yang berminat.

    Sesi berkenaan mengetengahkan barisan profesional industri daripada organisasi-organisasi seperti Persatuan Hotel Brunei, Royal Brunei Culinary dan Borneo Twitchers Tours and Travel Sdn Bhd.

    Para pelajar diberikan penerangan mengenai peluang dan hala tuju kerjaya. – GAMBAR SERAHAN JKP
    GAMBAR SERAHAN JKP
    GAMBAR SERAHAN JKP

    Pakar-pakar berkenaan mengongsi pengalaman berharga dunia sebenar, mengetengahkan peluang-peluang kerjaya dalam pelancongan, pengembaraan dan seni kulinari serta kelayakan yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang itu.

    Program itu bermatlamat untuk menyokong para pelajar dalam membuat pilihan kerjaya dan akademik dengan menyediakan maklumat kerjaya khusus selaras dengan kelayakan, kemahiran serta minat pelajar berkenaan.

    Ia membimbing mereka dalam menetapkan matlamat jangka pendek dan panjang, mengenal pasti laluan lepasan graduan, menawarkan pandangan dalam kursus-kursus yang disediakan bagi pendidikan lanjutan di dalam dan luar negara.

    Program itu juga berkongsi maklumat berharga mengenai peluang-peluang biasiswa yang disediakan oleh kerajaan dan sektor swasta, menjadikan pengajian tinggi lebih mudah diakses.

    JKP terus berkeinginan bekerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan di seluruh negara bagi ceramah kerjaya akan datang.

    Usaha itu menawarkan para pelajar peluang berharga untuk meneroka dan memperluaskan pilihan kerjaya mereka dalam industri pelancongan dan hospitaliti.

    Di samping itu, JKP terus berdedikasi untuk menjangkau lebih daripada hanya pelajar, dengan menyasarkan ceramah kerjaya bagi orang ramai yang berminat dalam meneroka kerjaya serta peluang dalam sektor pelancongan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda