Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    JKP, Chinese Taipei jalin kerjasama pelancongan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) telah mengadakan sesi rangkaian yang bermatlamat untuk memupuk kerjasama dan kolaborasi antara ejen-ejen pelancongan dan pengusaha hotel Brunei dengan ejen-ejen pelancongan Chinese Taipei yang berlangsung di Hotel Radisson baru-baru ini.

    Sesi dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Pemangku Timbalan Pengarah JKP, Dayang Emmilia Watiqah binti Abdullah Jemming dan diikuti dengan taklimat produk serta sesi rangkaian satu-sama-satu antara ejen-ejen pelancongan Brunei dan Chinese Taipei.

    Ejen-ejen berkenaan memberikan maklum balas positif dengan mengetengahkan tawaran unik Brunei seperti tarikan semula jadi yang asli dan warisan budaya yang kaya di mana ia amat bersesuaian bagi pasaran Chinese Taipei.

    Mereka juga menekankan pentingnya bagi meningkatkan keterlihatan Brunei untuk menarik lebih ramai pelancong.

    Sesi itu dihadiri oleh 11 delegasi dari Chinese Taipei yang merangkumi lapan ejen pelancongan, sebuah syarikat media serta seorang wakil dari Lembaga Pelancongan Malaysia, merupakan sebahagian daripada lawatan suai kenal yang dianjurkan oleh ejen pelancongan tempatan di Negara Brunei Darussalam.

    Ejen-ejen pelancongan berkenaan sedang dalam lawatan suai kenal pelbagai destinasi yang merangkumi Negara Brunei Darussalam dan Kota Kinabalu yang dipermudahkan kesalinghubungan yang disediakan oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.

    Ejen-ejen berkenaan telah melawat ke beberapa buah destinasi di Brunei termasuk mengambil bahagian dalam aktiviti mengasyikkan seperti bengkel membuat rantai kunci di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan mengikuti lawatan kelip-kelip di Temburong. Mereka juga turut mengendalikan pemeriksaan hotel di pelbagai hotel di Brunei.

    Salah satu aktiviti ejen-ejen berkenaan dalam lawatan.

    JKP terus komited untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang akan memberi manfaat kepada ejen-ejen pelancongan Brunei dan meningkatkan keterlihatan dan tarikan Brunei di pasaran Chinese Taipei.

    Menerusi kolaborasi berterusan dan inisiatif strategik, Brunei berhasrat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan di Asia Tenggara.

    Antara sebahagian dari aktiviti dalam sesi rangkaian yang dijalankan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JKP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda