Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) dengan kerjasama SEAMEO Regional Centre for Vocational and Technical Education and Training (SEAMEO Voctech) baru-baru ini telah menganjurkan Latihan Kecemerlangan Perkhidmatan Pelanggan bagi Industri Hospitalilti dan Pelancongan.
Latihan yang berlangsung selama tiga hari itu bermula 21 Oktober hingga 23 Oktober dan telah disertai oleh 15 pemandu pelancong yang berdaftar di bawah JKP, KSSUP.
JKP dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini mengongsikan, latihan itu adalah sebahagian dari komitmen JKP dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan pelanggan ke tahap yang cemerlang dengan menerapkan nilai Islam.
Melalui pendekatan ini, jabatan secara strategik memperkukuhkan kedudukan pelancongan Islam sebagai Unique Selling Point yang membezakan Negara Brunei Darussalam dari destinasi serantau yang lain.
Usaha peningkatan kualiti ini diperkukuhkan lagi melalui kempen MESRA yang telah dilancarkan pada tahun 2022 di mana kempen ini membawa maksud Muhibah, Etika, Senyum, Ramah dan Adil yang mana ia berfungsi sebagai alat komunikasi utama untuk menggalakkan setiap penyedia perkhidmatan menghayati nilai Islam.

Perlaksanaan MESRA ini memastikan perkhidmatan pelanggan dalam industri Pelancongan sentiasa selari dengan falsafah Negara Melayu Islam Beraja (MIB).
Dengan adanya latihan ini, peserta dapat mendalami asas utama perkhidmatan pelanggan berteraskan prinsip serta garis panduan Islam, selain memperkukuhkan kemahiran pengetahuan dan sikap berorientasikan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan.
Latihan ini amat penting bagi memastikan petugas industri pelancongan memiliki kecekapan dan kefahaman dalam mengendalikan pelancong berdasarkan garis panduan Islam di samping mempamerkan nilai keBruneian seperti keramahan, kesantunan dan budi pekerti tinggi.

JKP akan terus komited dalam inisiatif yang bertujuan meningkatkan piawaian profesionalisme dalam sektor hospitaliti dan pelancongan di negara ini.
Usaha berterusan ini adalah bagi memastikan pemandu pelancong terus memberikan perkhidmatan cemerlang dan memberikan pengalaman pelancongan yang berkualiti tinggi kepada semua pengunjung.

