BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Setiausaha Pertahanan Republik Islam Pakistan, Leftenan Jeneral (B) Zamir-Ul-Hassan Shah bersama delegasinya kini sedang berada di negara ini bagi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama (JKPB) ke-5 di antara kedua-dua negara, bermula kelmarin hingga esok.
Sebelum Mesyuarat JKPB, pagi tadi, beliau telah mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit di Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garisson, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak telah menekankan komitmen masing-masing dalam meneruskan usaha-usaha ke arah mengeratkan lagi hubungan pertahanan yang sedia ada.
JKPB yang ditubuhkan melalui Perjanjian Persefahaman dalam bidang Kerjasama Pertahanan dan telah ditandatangani pada tahun 2004 itu merupakan salah satu platform bagi kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu keselamatan serantau yang berkepentingan bersama dan juga untuk menerokai peluang kerjasama bagi mengukuhkan hubungan pertahanan kedua-dua negara.
Mesyuarat JKPB tersebut telah dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Dato Paduka Abd Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, TLDB dan Leftenan Jeneral (B) Zamir-Ul-Hassan Shah.



Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Mejar Jeneral (B) Tariq Rashid Khan serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan Republik Islam Pakistan.
Sementara itu, bagi pihak Negara Brunei Darussalam, delegasi terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Pada sebelah petang, Leftenan Jeneral (B) Zamir-Ul-Hassan Shah juga berkesempatan untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.
Selain daripada itu, sebagai sebahagian daripada program JKPB, Leftenan Jeneral (B) Zamir-Ul-Hassan Shah serta delegasi juga dijadualkan untuk membuat lawatan ke Kampong Ayer dan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja.
Secara amnya, menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan mencerminkan hubungan pertahanan yang baik dan mesra di antara kedua-dua negara. Di samping platform JKPB, kedua-dua pihak juga sering kali berinteraksi melalui pertukaran lawatan, kursus dan latihan.