Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Penduduk di beberapa buah kawasan di Daerah Temburong yang mengalami gangguan bekalan air rendah atau tekanan air disebabkan kerja-kerja kecemasan penggantian sluice valve berukuran 300mm di Tangki Air Sibulu yang sedang giat dilaksanakan pada masa ini, dinasihatkan untuk berjimat cermat dalam penggunaan air.
Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa beberapa buah kawasan yang terjejas ialah keseluruhan Mukim Bokok, sepanjang Jalan Sibulu termasuk Rancangan Perumahan Negara Rataie hingga ke Kampung Buda-Buda dan sepanjang Jalan Bokok Temada serta kawasan sekitarnya.
Pihak jabatan memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa setiap langkah telah diambil untuk menyelesaikan kerja berkenaan secepat mungkin.
JKR juga memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui lori tangki atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih.