Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    JKR naik taraf Dewan Sri Labuan libatkan kos RM1.57 juta

    LABUAN, 22 JAN – Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan telah menyiapkan projek naik taraf Dewan Sri Labuan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.57 juta.

    Pengarah JKR Labuan, Mohd Faizul Ali Hanapiah berkata kerja naik taraf dewan komuniti itu bermula pada awal 2023 dan siap sepenuhnya pada Disember tahun lepas, merangkumi aspek kritikal seperti penggantian lantai, bumbung, kabel dan komponen elektrik.

    “Kejayaan menyiapkan projek naik taraf ini bukan sahaja pencapaian penting bagi tenaga kerja JKR Labuan, tetapi juga satu manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya pada majlis perasmian Dewan Sri Labuan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini.

    Dewan yang dibina pada 2003 di pekarangan JKR Labuan itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk gelanggang badminton, pentas, bilik persalinan, gimnasium, kemudahan Wi-Fi dan tandas.

    Mohd Faizul berkata pihaknya juga telah mengemukakan permohonan kepada Ahmad bagi kelulusan pembinaan kuarters petugas yang baharu dan aktiviti penyelenggaraan (termasuk mengecat semula) kuarters petugas sedia ada.

    Selain itu, beliau berkata JKR Labuan juga memohon perolehan jentera angkut pengorek-kaut dan kren pengangkat mudah alih untuk memudahkan operasi petugas teknikal seperti menyelenggara jalan raya sepanjang 142 kilometer dan 2,107 lampu jalan di pulau ini. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda