Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jo bawa Korea Selatan ke suku akhir

    DOHA, 31 JAN – Korea Selatan melangkah ke peringkat suku akhir Piala Asia 2023 apabila mengalahkan Arab Saudi 4-2 menerusi penentuan penalti, selepas terikat 1-1 pada aksi pusingan 16 terbaik yang berlanjutan sehingga 120 minit permainan, semalam.

    Penjaga gol, Jo Hyeon-woo, muncul wira Korea Selatan pada penentuan penalti itu, apabila menafikan dua rembatan pemain Arab Saudi yang diambil masing-masing Sami Al-Naji dan Abdulrahman Ghareeb, untuk terus menghidupkan cabaran Taegeuk Warriors dalam pemburuan gelaran ketiga mereka.

    Terdahulu pada 90 minit permainan di Stadium Education City itu, pemain muda, Abdullah Radif, meletakkan Green Falcons di depan, sejurus selepas waktu rehat, sebelum Cho Gue-sung menyamakan kedudukan di lewat separuh masa kedua untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

    Korea Selatan turun dengan skuad terkuat apabila Jurgen Klinsmann membariskan nama-nama besar yang beraksi di Eropah, antaranya bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, Kim Min-jae (Bayern Munich), Jeong Woo-yeong (VFB Stuttgart) dan Lee Kang-in yang beraksi untuk Paris Saint-Germain.

    Namun, disiplin bertahan tinggi dipamerkan anak buah Roberto Mancini yang kesemuanya beraksi di Liga Pro Saudi, menyaksikan lawan buntu mencetak jaringan dengan peluang terbaik pada separuh masa pertama, hadir menerusi percubaan Son yang diselamatkan Ahmed Al-Kassar pada minit ke-26.

    Percubaan berbahaya pada babak pertama hadir di hujung permainan, apabila tandukan Saleh Al Shehri berpunca dari sepakan penjuru Mohammed Al Burayk pada minit ke-41, menyaksikan bola tepat ke palang gol sebelum tandukan susulan oleh Ali Lajami turut hanya menggegar palang.

    Bersambung babak kedua, percaturan Mancini membawa masuk Radif menggantikan Al Shehri membuahkan hasil, apabila pemain Al Shabab berusia 21 tahun itu tidak menunggu lama untuk membuka jaringan buat Arab Saudi pada minit ke-46, sekali gus menambah tekanan kepada pasukan lawan. – Bernama

    Reaksi Jo kepada rakan sepasukannya di Stadium Education City di al-Rayyan, barat Doha, pada 30 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda