Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Joaquin bakal gantung kasut

    MADRID, 20 APRIL – Pemain sayap Real Betis, Joaquin kelmarin mengumumkan persaraannya pada penghujung musim ini, sekali gus bakal memecahkan rekod penampilan La Liga.

    Joaquin, yang berusia 42 tahun pada bulan Julai, merupakan kapten Real Betis yang berada di tempat kelima dalam La Liga dengan baki sembilan perlawanan.

    Dia telah bermain sebanyak 615 perlawanan liga, kurang tujuh daripada bekas penjaga gol Sepanyol, Andoni Zubizarreta, yang memegang rekod dengan 622 perlawanan.

    Dalam video yang disiarkan oleh kelab itu di media sosial, sambil duduk di bilik persalinan, Joaquin yang menangis berkata: “Masa saya telah tiba. Masa untuk memberitahu awda ini musim terakhir saya bersama Betis.”

    Dalam satu video lagi, yang menunjukkan lukisan Joaquin, dia berkata: “Selama 23 tahun, saya telah cuba menjadikan bola sepak saya sebagai seni dan diingati sepanjang generasi.”

    Gambar fail bertarikh 13 Oktober 2022 menunjukkan Joaquin bertepuk tangan selepas digantikan semasa perlawanan bola sepak Liga Europa Kumpulan C antara Real Betis dan Roma di stadium Benito Villamarin di Seville, Sepanyol. – AP

    Joaquin membuat penampilan sulungnya untuk Betis pada tahun 2000 ketika berusia 19 tahun.

    Dia meninggalkan Betis selama lima musim di Valencia pada 2006 dan kemudian menghabiskan dua tahun di Malaga. Dia juga menghabiskan dua musim di luar La Liga bersama Fiorentina dalam Serie A sebelum kembali ke Betis pada 2015.

    Dia telah memenangi Copa del Rey dua kali bersama Betis dan sekali bersama Valencia.

    Joaquin bermain 51 kali untuk Sepanyol antara 2002 dan 2007.

    Dia juga ada mengacarakan program temu bual televisyen. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda