Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jocelyn idam beraksi di Sukan Olimpik 2028

    KUALA LUMPUR, 23 JULAI – Pemain golf wanita meningkat naik, Jocelyn Chee Yi Min memasang impian untuk membuat penampilan sulungnya di pentas Olimpik, iaitu pada edisi Los Angeles (LA) 2028 di California, Amerika Syarikat (AS).

    “Beraksi di temasya Olimpik ialah sasaran saya dan California sangat dekat di hati kerana saya menamatkan pengajian peringkat kolej di sana,” kata atlet kelahiran Kedah berusia 23 tahun, yang menamatkan Ijazah Sarjana Pengurusan Teknologi Maklumat di California Baptist University (CBU) tahun lepas.

    Jocelyn yang mula menyertai pertandingan golf pada usia 12 tahun dan telah mewakili CBU dalam Divisyen 1 Persatuan Atletik Kolej Nasional (NCAA), telah beralih ke profesional pada Februari lepas.

    Dan selepas lapan kejohanan, beliau berjaya meraih gelaran sulungnya apabila muncul juara kejohanan Piala Vios di Templer Park Country Club bulan lepas.

    Jocelyn, yang akan menyertai Piala Supra di The Mines Resort & Golf Club pada 25 hingga 27 Julai ini mahu mengekalkan momentum kemenangan itu sekali gus meraih tiket ke kejohanan jelajah profesional utama.

    “Saya akan cuba memenangi beberapa kejohanan lagi untuk mengukuhkan kedudukan keseluruhan. Mudah-mudahan ia menjadi permulaan untuk musim baharu saya tahun depan. Sekarang, saya beraksi di Thailand. Tahun depan, saya bercadang bermain di Taiwan, China dan Q-School (kelayakan untuk jelajah profesional).

    “Kemudian (saya akan) mencari jalan untuk kembali ke AS. Satu impian saya ialah bermain di AS, dalam Jelajah Epson atau Jelajah Persatuan Golf Wanita Profesional (LPGA),” katanya. – Bernama

    Pemain golf muda, Jocelyn Chee Yi Min ditemui media selepas tamat sesi Pro-Am Piala Supra Jelajah Toyota 2023 di The Mines Resort dan Golf Club Seri Kembangan. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...