Jodoh Rizky dan Ziva hanya dalam karya

Menafikan menjalin hubungan cinta, penyanyi popular Indonesia, Rizky Febian dan Ziva Magnolya menjelaskan, keakraban mereka sekadar teman duet.

Rizky berkongsi, faktor yang menyebabkan hubungan dilihat istimewa berikutan lagu duet terbaharu berjudul Terlukis Indah terbitan Universal Music Indonesia.

“Hubungan saya dan Ziva memang istimewa. Kerana dari pertemuan pertama sehingga berjaya menghasilkan karya bersama, banyak momen indah dilalui. “Disebabkan itu, kami memiliki keserasian yang kuat menyebabkan kami rasa dekat.

“Namun hakikatnya, kami hanya teman duet,” katanya kepada media.

Rizky berkata dia tidak menafikan lagu Terlukis Indah terhasil daripada persamaan dan keserasian yang dikongsikan bersama.

Menafikan menjalin hubungan cinta, penyanyi popular Indonesia, Rizky Febian dan Ziva Magnolya menjelaskan, keakraban mereka sekadar teman duet. – Agensi

Berkongsi mengenai lagu ciptaannya itu, Rizky berkata ia bermula daripada sebuah program disertai mereka berdua.

“Kami bertemu dalam sebuah program yang dikendalikan saya selaku hos. Dalam satu segmen, semua artis yang terbabit perlu menghasilkan lagu secara spontan.

“Pada saat itu, artisnya adalah Ziva. Ketika kami cuba menyanyikan lagu secara spontan, tiba-tiba kami menemui nada yang kedengaran merdu.

“Selepas program selesai, saya beritahu Ziva, jika lagu dinyanyikan secara spontan sebentar tadi dapat dihasilkan secara serius. Maka, terjadilah lagu Terlukis Indah.

“Ia berlaku dengan mudah sekali. Dan, lagu Terlukis Indah dapat disiapkan dalam masa satu malam sahaja,” katanya yang mahu kerjasama bersama Ziva direalisasikan sejak tahun lalu.

Tambah Rizky, lagu Terlukis Indah dihasilkan sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang mahukan Ziva dan Rizky berkarya bersama.

Rizky dan Ziva ditemui pada sidang media lagu duet, Terlukis Indah secara virtual dari Indonesia, baru-baru ini.

Sementara itu, Ziva berkata dia dan Rizky lebih selesa bekerjasama dalam berkarya biarpun peminat mahu menjodohkan mereka.

“Namun, jodoh kami dalam karya. Saya berharap kami dapat menghasilkan karya bersama lagi.

“Kerana gerak hati saya percaya daripada cara Rizky menyanyi dan lagu dendangannya, semuanya seperti saya. – Agensi