Tuesday, October 8, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jodoh Shahida, Aliff Syukri masih panjang walau pernah bergelora

    Pernah berdepan situasi hampir bercerai dengan suami, usahawan Datin Seri Nur Shahida tidak menafikan kehidupan berumah tangga penuh dengan ujian dan cabaran.

    Shahida, 39, bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana jodohnya bersama suami iaitu Datuk Seri Aliff Syukri masih panjang dan berjaya menempuh dugaan itu bersama.

    “Rumah tangga ini banyak masam, pahit, tawar dan ada manisnya. Rumah tangga mana yang tidak bergelora, tak terkecuali begitu juga kami. Tapi masih panjang jodohnya.

    Apa pun kita doakan yang terbaik untuk semua orang. Berpisah juga bukan tanda berakhirnya hidup kita. Kadang-kadang permulaan untuk kehidupan yang lebih baik. Doa yang baik-baik, cakap yang baik-baik insya-Allah yang baik-baik juga untuk kita,” katanya.

    Shahida berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya hari ini.

    Dalam pada itu, Shahida turut menitipkan pesan kepada orang ramai agar tidak mencampuri hal rumah tangga individu lain. Menurut Shahida, orang luar tidak mengetahui masalah dalaman yang berlaku terhadap pasangan itu dan menasihati mereka supaya tidak sewenang-wenangnya menghakimi sebarang krisis yang berlaku.

    “Kalau kita dengar tentang masalah rumah tangga orang, elakkan komen sebab kita tidak tahu apa yang berlaku. Hanya suami isteri yang tahu apa yang mereka lalui. Hanya suami kenal isteri dan begitulah sebaliknya. Kita hanya sekadar orang luar yang tidak mengetahui kisah sebenar sedangkan mereka memiliki cerita versi masing-masing,” ujarnya.

    Pada 2020, kisah rumah tangga Aliff dan Shahida mula menjadi bualan ramai apabila usahawan sensasi itu tidak lagi mengikuti isterinya di Instagram. Lebih menguatkan lagi spekulasi itu apabila surat tuntutan cerai yang dibuat oleh Shahida tersebar di media sosial.

    Aliff bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai rumah tangga mereka dan memberitahu hubungan dia dan isteri dalam keadaan baik.

    Untuk rekod, Aliff mendirikan rumah tangga dengan Shahida pada Ogos 2007 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusof Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim. – Agensi

    Shahida kini bahagia bersama suami dan anak-anak. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda