KUALA LUMPUR – Joe Flizzow mencipta sejarah apabila menjadi penyanyi pertama Malaysia memenangi trofi Artis Terbaik Asia Tenggara pada Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 (MTV EMA 2018) yang berlangsung di Bizkaia Arena, Barakaldo, Basque Country, Sepanyol.
Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 39, berkongsi berita membanggakan itu menerusi Instagram.
“Hari ini dalam sejarah. Untukmu, Malaysia! Terima kasih semua. Terima kasih MTV untuk anugerah ini.
“Saya ingin dedikasikan kemenangan ini buat semua peminat dan kawan-kawan di Malaysia. Terima kasih keluarga, label saya Sony Kartel, pengurusan dan semua yang percaya serta mengundi saya.
“Ini membuktikan walaupun industri hip hop di Malaysia kecil, namun disebabkan kita bersatu-padu, sangat berbaloi untuk pencapaian ini. Tidak ketinggalan buat semua pengamal hip hop sekitar Asia, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina, hip hop Asia masih berbisa,” katanya.
Dalam kategori berkenaan, Joe menewaskan Afgan dari Indonesia, IV of Spades (Filipina), Min Hang (Vietnam), Slot Machine (Thailand), The Sam Willows (Singapura) dan Twopee Southside (Thailand).
Dalam perkongsian terkini di Instagram, pelantun lagu Havoc itu turut berkongsi beberapa siri video dirinya bersalaman dan bertemu dengan aktor popular Amerika Syarikat, Terry Crews.
“Satu penghargaan bertemu dengan Terry Crews dan isteri-nya, Rebecca di acara karpet merah.
“Saya beritahu dia (Crews) saya sedia menjadi pemandu pelancong apabila dia melawat Malaysia. Sebagai balasan, dia akan mengajar saya beberapa gerakan tarian,” tulisnya sebagai kapsyen video berkenaan yang turut memuat naik sekeping gambar bersama penyanyi pop, Dua Lipa pada perkongsian berasingan. – Agensi
