Penyanyi rap Joe Flizzow tidak akan menolak peluang kembali menjalin kerjasama dengan Malique susulan timbul desas-desus mengatakan bekas anggota Too Phat itu bakal membuat kemunculan semula.
Joe atau Johan Ishak, 46, bagaimanapun menyerahkan perkara itu di tangan Malique dan sentiasa bersedia untuk kembali bersatu dengan sahabat baiknya itu.
“Insya-Allah kita doakan, jika Malique mendengar apa saya katakan ini, ia terpulang kepada kamu bro. Keputusan di tangan kamu. Saya sentiasa bersedia. Bayar RM1 pun saya akan lakukan malah kalau tiada bayaran juga saya tak kisah,” katanya kepada mStar.
Joe berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama anak yatim kerjasama Universal Music yang diadakan di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya kelmarain.
Dalam pada itu, Joe memberitahu dia sebelum ini banyak menerima tawaran persembahan bersama Malique namun akur belum tiba masanya mereka bersatu kembali.
“Saya dapat banyak tawaran persembahan bersama Malique. Kalau saya nak cakap jumlah tawaran diberikan, rasanya tinggi nilainya.
“Saya selalu cakap wang bukan segala-segalanya. Mungkin ada pihak penganjur menganggap bayaran tinggi boleh mempengaruhi keputusan saya untuk membuat persembahan dengan dia.
Ditanya soal kemunculan semula Malique dalam industri seni, Joe memberitahu dia enggan mengulas lanjut berhubung hal demikian kerana tidak mahu membuat sebarang andaian.
“Memang kita dah lama nantikan dan raikan dia buat kemunculan semula. Dia pun sudah keluar dengan beberapa buah lagu dengan artis baru sebelum ini.
“Buat masa ini kami masih belum berhubung lagi. Saya pun tidak mahu bercerita lebih sangat kerana tidak mahu membuat sebarang andaian,” katanya.
Februari lalu, Malique atau Cairel Edrin Ibrahim, 48, mengejutkan peminat apabila muncul dengan akaun Instagram rasminya iaitu Malique Ibrahim Qarma.
Untuk rekod, Joe dan Malique menubuhkan kumpulan Too Phat pada 1998 dan pada 2007, kedua-dua mereka memilih untuk meneruskan dengan kerjaya solo sebelum Malique menghilangkan diri. – Agensi
