Selepas 30 tahun tidak menghasilkan sebarang karya baharu, pelakon Joey Daud akhirnya melancarkan single terbaharu berjudul Wamwamsam.
Joey atau Zulkifli Duad, 52, menjelaskan perasaan fobia dan trauma menjadi punca dia melupakan niat meneruskan karier dalam bidang nyanyian.
Tambahnya lagi, perasaan trauma itu disebabkan dua albumnya di bawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd kena ban.
Kata Joey, album kali ini merupakan percubaan terakhir sebelum meletakkan noktah jika ia gagal menambat hati pendengar.
“Rasa gemuruh sangat, tak tahulah orang boleh menerima lagi sebab usia pun sudah meningkat. Itu saya rasa kalau tak boleh ‘pergi’ mungkin ini lagu terakhir daripada saya.
“Rasa trauma masih ada sebab sebelum ini setiap kali keluar album mesti kena ban,” katanya kepada mStar.
Joey berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbaharunya yang berlangsung di Kuala Lumpur kelmarin.
Berkongsi lebih lanjut, Joey memberitahu dia dipujuk Datuk M. Nasir serta isterinya Watie Sadali untuk kembali menyanyi. Meskipun berjaya bangkit namun dia mengakui masih tidak mempunyai keyakinan untuk berkarya sebagai seorang penyanyi.
“Kalau ikutkan sampai sekarang masih tiada kekuatan lagi, tapi kalau dapat sokongan ramai dalam seni suara ini Insya-Allah saya akan hiburkan sampai kiamat,” jelasnya.
Sementara itu, Joey memberitahu lagu Wamwamsam berkenaan merupakan karya komedi pop rock eksperimental yang penuh warna, jenaka dan makna mendalam.
Lagu ini juga mengangkat tema wawasan dan pentingnya pendidikan sebagai akar kepada pembentukan diri dan masa depan. – Agensi
