Pelakon dan pelawak mempunyai cara tersendiri sekiranya tidak bersetuju dengan tawaran dibuat pihak penganjur berhubung bayaran jika ingin menggunakan khidmatnya.
Kata Joey atau Zulkifli Daud, 50, dia biasanya akan ‘bergaduh’ terlebih dahulu sebelum menandatangani sebarang kontrak kerana tidak mahu timbul rasa tidak puas hati.
“Saya pernah dijemput menjadi pengacara dan melihat nama-nama penyanyi yang turut diundang dan mereka dibayar lebih tinggi berbanding saya sebagai pengacara.
“Sedangkan mereka hanya datang untuk membuat satu sesi persembahan. Jadi di mana keadilan untuk saya yang perlu mengendalikan acara tersebut dari awal sampai akhir?
“Selalunya kalau berdepan dengan situasi begini saya akan ‘bergaduh’ dahulu sebelum tanda tangan sebarang kontrak. Kalau setuju dengan harga, saya akan diam sahaja,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, bercakap tentang pengiktirafan terhadap pelawak tanah air, Joey berharap akan ada pihak mewujudkan anugerah khas bagi menghargai penglibatan rakan-rakan seperjuangan.
Joey tidak menafikan pernah berkecil hati apabila melihat banyak usaha mengangkat golongan pempengaruh media sosial tetapi tidak memandang serius terhadap kerjaya sebagai pelawak.
“Saya tertanya-tanya tidak adakah program anugerah khas untuk pelawak kerana dalam dunia komedi ini sendiri ada banyak kategori. Kita ada anugerah untuk pempengaruh baharu namun tidak untuk pelawak.” – Agensi