Pelakon Johan As’ari, 38, mahu menjadikan majlis perkahwinannya sebagai satu kejutan.
Sebelum ini, Johan dilaporkan pernah menunda majlis pernikahan bersama wanita dikenali sebagai ‘N’ yang sepatutnya berlangsung sempena ulang tahun kelahirannya pada 3 Disember tahun lalu.
Johan meminta semua pihak bersabar menunggu pengumuman hari bahagianya itu.
“Saya nak ucap terima kasih kepada semua yang ambil berat soal saya. InsyaAllah, akan ada kejutan dan akan beritahu bila sampai masanya nanti.
“Saya tak akan sorok dan akan menjemput semua. Tapi, tak adalah lagi seminggu nak kahwin baru hantar kad undangan. Mestilah saya kena hormati tarikh orang lain juga.

“Saya juga nak ucap terima kasih atas doa baik-baik diberikan,” katanya kepada BH Online.
Mengulas tindakannya enggan mendedahkan butiran lnjut mengenai hari bahagianya, pemilik nama sebenar Johan Ariff As’ari, menjelaskan dia hanya mahu mengambil langkah berhati-hati.
“Bukanlah sebab takut dengan penyakit ain. Cuma, saya rasa nak buat kejutan. Lagipun pada zaman media sosial ini, lebih bagus rasanya kalau saya ambil langkah berhati-hati,” katanya ditemui pada majlis tayangan dan sesi ramah mesra bersama pelakon drama rantaian, Menanti Senja di Sentul.
Terdahulu, Johan dilaporkan menjalin hubungan istimewa jarak jauh dengan ‘N’ yang berkelulusan Doktor Falsafah dalam jurusan Sains Politik dari universiti di United Kingdom selama lima tahun.
Sehubungan itu, Johan meletakkan sasaran mendirikan rumah tangga tahun lalu dan serancak membuat persiapan perkahwinan dengan wanita yang juga usahawan mangga Harumanis di Perlis itu. – Agensi