Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Pasukan Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong telah dinobatkan sebagai johan bagi perlawanan bola sepak Piala Zain anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid petang tadi setelah berjaya menewaskan Pasukan Masjid RPN Kampung Rataie dengan keputusan akhir 2-1, di Padang Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah.
Sementara itu dalam perlawanan akhir Piala Pengarah Hal Ehwal Masjid kali ke-4 tahun 2020 pula menyaksikan Pasukan Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku Katok muncul juara setelah menewaskan Pasukan Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, pengarah-pengarah, penolong-penolong Pengarah, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEU.
