KUCHING, 4 Nov – Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Dr John Brian Anthony, dilantik sebagai Pengerusi baharu Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA).
Brian, 63, memiliki Phd dalam bidang Pengurusan dari Southern Cross University dan terbabit sebagai perunding pengurusan di hospital kebanyakannya di Indonesia selain di Malaysia dan Singapura.
Beliau berasal dari sebuah rumah panjang di Sebauh, Bintulu.
“Dengan pengalaman saya dalam dunia korporat, saya akan membawa BPA kecekapan dan lebih banyak aktiviti, cuba untuk mengurangkan kos barangan yang melalui pelabuhan ini dan memastikan pihak berkepentingan serta pengguna pelabuhan menerima perkhidmatan terbaik dalam merangsang pertumbuhan ekonomi yang berterusan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau ditemui pemberita pada pembukaan Konvensyen Negeri Sarawak ke-18 yang dirasmikan oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan ketika membuat pengumuman itu berkata, pelantikan berkenaan berkuat kuasa serta-merta. – Bernama