LONDON, 1 MEI – Britain telah ‘melepasi kemuncak’ penularan koronavirus, Perdana Menteri Boris Johnson berkata kelmarin, meskipun mencatatkan 674 lagi kematian dalam tempoh 24 jam.
Kematian disebabkan oleh koronavirus adalah seramai 26,711 orang, ketiga tertinggi di dunia di belakang Amerika Syarikat dan Itali, selepas mengubah laporan kematian masyarakat dan hospital pada Rabu lalu.
Angka kes yang disahkan di UK telah meningkat dari 6,032 kepada 171,253 kelmarin.
Tetapi Johnson, yang kali pertama tampil di khalayak ramai dalam sidang media harian kerajaan selepas bergelut dengan COVID-19, berkata terdapat sebab untuk merasa optimis.
‘Buat kali pertama, kita telah melepasi kemuncak wabak dan sekarang kita sedang berada di penghujungnya,” katanya kepada wartawan.
“Kita telah melepasi puncak atau lebih tepatnya kita akan melepasi puncak yang mungkin besar, seolah-olah kita telah melalui beberapa buah terowong besar di Alpine.
“Kita sekarang boleh melihat segala-galanya kembali cerah bagi kita. Jadi ia adalah penting kita tidak hilang kawalan dan terjebak dengan masalah kedua yang lebih besar.”
Ketua penasihat saintifik kerajaan, Patrik Vallance berkata kadar pemindahan jangkitan ketika ini di bawah angka satu, dengan pesakit-pesakit yang dimasukkan ke dalam hospital dan unit rawatan rapi telah berkurangan.
Ia turut memberi kesan kepada kadar kematian, katanya.– AFP
