PETALING JAYA, 31 DIS – Seperti diramalkan, juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) menguasai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) selepas membolot lima kategori utama yang dipertandingkan pada kali ini.
Penjaga gol Malaysia Farizal Marlias dinobatkan selaku penjaga gol terbaik buat kali kelima selepas empat edisi terdahulu – 2009, 2015, 2018 dan 2019, manakala pemain pertahanan tengah kebangsaan Aidil Zafuan Abdul Radzak pula memenangi anugerah pemain pertahanan terbaik buat kali keempat selepas meraih gelaran sama pada 2009, 2010 dan 2012.
Pemain sayap Malaysia, Muhammad Safawi Rasid yang kembali ke JDT setelah dipinjamkan selama beberapa bulan ke kelab Liga Portugal, Portimonense SC pula dipilih sebagai pemain tengah terbaik buat kali kedua selepas 2018.
Skuad Harimau Selatan turut mempertahankan anugerah pasukan terbaik buat kali ketiga berturut-turut selepas 2018 dan 2019, selain pengendali pasukan berkenaan, Benjamin Mora dari Mexico turut diumumkan sebagai jurulatih terbaik susulan kejayaan pasukan itu mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi sejak 2014. – Bernama