Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Johor kekalkan harga tiket zoo termurah

    ISKANDAR PUTERI, 12 FEB – Kerajaan negeri akan mengekalkan harga tiket kemasukan ke Zoo Johor dengan harga termurah di Malaysia apabila taman haiwan itu dibuka semula kepada orang ramai April ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pelbagai kemudahan dan infrastruktur sedang dinaik taraf melibatkan kos kira-kira RM7 juta bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

    “Sebelum ini harga tiket bagi kanak-kanak adalah RM1 dan dewasa pula RM2. Harga baharu akan diumumkan nanti. Tetapi kita di peringkat kerajaan masih mengekalkan harga tiket masuk paling termurah di Malaysia dan peringkat asia, cuma untuk warga asing akan ada kenaikan harga sedikit.

    “Pertambahan haiwan mungkin ada tetapi tidak banyak kerana masih lagi dalam perbincangan. Cuma zoo baharu ini akan nampak lebih selesa, bersih dan tersusun,” katanya kepada pemberita selepas mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan SWM Environment Sdn Bhd untuk disalurkan kepada 750 buah keluarga B40 di Johor.

    Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, di Bangunan Dato’ Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar, hari ini.

    Zoo Johor yang terletak di pusat bandar raya Johor Bahru, mula dibuka pada 1928 dan merupakan zoo tertua negara dengan keluasan 12.5 hektar serta mempunyai lebih 100 spesies haiwan. – Bernama

    Zoo Johor yang terletak di pusat bandar raya ini dalam proses dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur.– Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...