Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Johor, Perak laung amaran awal kuasai acara badminton

    SIBU, 16 OGOS – Johor dan Perak memberikan isyarat awal untuk menguasai acara badminton Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan membuka gelanggang esok di Stadium Tertutup Sibu.

    Pengurus pasukan Johor, Azuan Mohd Ali berkata dengan gabungan pemain pelapis yang berada di dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain negeri, Johor dilihat mampu menguasai beberapa kategori dipertandingkan.

    “Pemain yang kita harapkan untuk meraih pingat adalah dalam kategori beregu campuran dan beregu lelaki manakala untuk kategori perseorangan lelaki, insya Allah akan ada pingat tapi kita tak boleh nak pastikan pingat apa.

    “Dari segi persiapan, skuad kita memang melakukan persediaan sejak dua tahun lepas dan saya rasa kami sudah bersedia serta berpuas hati dengan semua pemain yang dibawa pada SUKMA kali ini,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan hari ini.

    Pada SUKMA 2022, perseorangan lelaki Malaysia, Ng Tze Yong menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Johor selepas menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Leong Jun Hao 18-21, 21-19, 21-19 dalam perlawanan akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil.

    Sementara itu, Pengurus pasukan Perak, Mohamed Zambri Bahari berkata skuadnya kali ini membariskan beberapa pemain berpengalaman beraksi pada SUKMA 2022 dan ia merupakan kelebihan yang perlu dimanfaatkan.

    “Sasaran kita kali ini adalah menerusi kategori perseorangan lelaki dan beregu wanita manakala untuk kategori berpasukan pada edisi kali ini, terdapat perubahan sedikit kerana penganjur mempertandingkan kategori campuran berpasukan. Jadi saya rasa ia merupakan peluang terbuka semua pasukan bertanding,” katanya. – Bernama

    Skuad badminton Johor dan Terengganu giat melakukan latihan bagi persediaan untuk menghadapi perlawanan sempena SUKMA di Stadium Tertutup Sibu pada 16 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda