JOHOR BAHRU, 12 JULAI – Johor terpilih menjadi tuan rumah Asia-Pacific Climate Week (APCW) 2023 yang bakal berlangsung pada November ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di Facebook beliau berkata perkara itu dimaklumkan menerusi pertemuan dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata konvensyen yang melibatkan 2,000 delegasi daripada 150 negara itu tentunya akan meletakkan Johor dan Malaysia di mata dunia.
“Perancangan dan persediaan Malaysia dalam menangani isu pencemaran, bencana banjir dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan menjadi antara topik hangat di konvensyen tersebut.
“Justeru, kerajaan negeri bersedia untuk meneliti segala bentuk kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, agar penganjuran bertaraf antarabangsa ini dapat berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.
Menerusi pertemuan itu juga, Menteri Besar berkata kerajaan Persekutuan turut meluluskan beberapa peruntukan untuk negeri bagi penyelesaian jangka masa panjang dan pendek sebagai persediaan monsun timur laut.
Beliau berkata peruntukan itu melibatkan sebanyak RM10.4 juta bagi perolehan 24 unit pam bergerak dan RM6.88 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur saliran seperti membaiki kerosakan tebing dan mendalamkan sungai.
Bagi penyelesaian jangka masa panjang katanya, sebanyak RM 1.6 bilion diperuntukkan untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di lembangan Sungai Muar, Segamat, Bandar Batu Pahat dan Lembangan Sungai Johor, Kota Tinggi. – Bernama


