LOS ANGELES, 28 MAC – Denver Nuggets menggukuhkan kedudukan mereka selaku pasukan pilihan di Western Conference dengan kemenangan ke atas Philadelphia 116-111, semalam, manakala harapan Sacramento Kings untuk menamatkan kemarau playoff NBA selama 16 tahun masih tertangguh.
Pemain Paling Berharga (MVP) NBA dua kali, Nikola Jokic melakukan triple-double ke-29 musim ini untuk Denver dengan 25 mata, 17 rebound dan 12 assist.
Tetapi dia tidak berpuas hati kerana Nuggets membiarkan kelebihan 20 mata pada suku keempat dan berkurangan kepada hanya tiga mata dengan baki 28.9 saat menentang pasukan Sixers yang kehilangan pemain bintang, Joel Embiid dan playmaker, James Harden.
“Kami tidak melakukan kerja yang baik hari ini,” kata Jokic. “Kami mengawal keseluruhan permainan, dan kemudian pada suku keempat, kami hilang penguasaan. Kami melakukan lontaran teruk, kami tidak bermain bertahan, dan itulah sebabnya mereka bangkit,” tambahnya.
Nuggets melonjakkan pendahuluan mereka kepada tiga setengah perlawanan ke atas Memphis di puncak West Conference dengan kemenangan keempat berturut-turut.
Ketiadaan calon MVP, Embiid mengurangi sinar perlawanan, tetapi jurulatih Philadelphia, Doc Rivers berkata keputusan untuk mengetepikannya kerana kecederaan betis adalah “bukan keputusan yang sukar untuk kami.”
“Kami mahu dia dan seluruh pasukan cergas untuk playoff,” kata Rivers.
Keraian di Sacramento tidak kekal selepas Minnesota Timberwolves mencatat kemenangan 119-115 ke atas Kings, yang dapat mengesahkan kelayakan playoff mereka untuk kali pertama sejak 2006 dengan kemenangan. – AFP
