LOS ANGELES, 1 JULAI – Pemain Paling Berharga (MVP) NBA dua kali, Nikola Jokic akan kekal bersama Denver Nuggets selepas pelanjutan kontrak bernilai AS$264 juta bagi lima tahun, yang merupakan nilai terbesar dalam sejarah liga NBA, lapor media Amerika Syarikat kelmarin.
The Denver Post adalah antara yang melaporkan mengenai perjanjian lumayan bintang Serbia Jokic ketika tempoh rundingan agensi bebas liga itu bakal termeterai.
Seperti yang dinyatakan oleh The Post sebelum ini, perlanjutan kontrak itu sememangnya dijangka selepas Jokic, yang disenaraikan pada pusingan kedua oleh Nuggets pada 2014, menunjukkan bahawa dia tidak berminat untuk berpindah selepas Denver tewas kepada Golden State Warriors dalam pusingan play-off.
“Jika diberi tawaran, sudah tentu saya akan menerimanya kerana saya sangat suka pasukan ini dan saya gembira bekerja di sini,” kata Jokic.
Selain itu, terdapat laporan bahawa bintang Brooklyn, Kevin Durant telah meminta pertukaran yang mengejutkan NBA kelmarin.
ESPN, memetik sumber yang tidak dinamakan, berkata Durant sedang mengintai perpindahan ke Phoenix Suns atau Miami Heat, tetapi Nets akan menyasarkan untuk mendapatkan tawaran sebaik mungkin untuk bintang itu dengan baki empat tahun dalam kontraknya. – AFP