LOS ANGELES, 31 OKT – Nikola Jokic meraih triple double ke-107 dalam kariernya apabila Denver Nuggets meneruskan rekod tanpa kalah musim ini dengan kemenangan 110-102 ke atas Utah Jazz kelmarin.
Bintang dari Serbia, Jokic menamatkan perlawanan dengan 27 mata, 11 assist dan 10 rebound dalam satu lagi persembahan dominan oleh juara bertahan NBA itu, yang mendapat empat kemenangan daripada empat perlawanan selepas mendahului hampir sepanjang masa.
Denver mendahului 10 mata selepas suku pertama dan sentiasa mengawal permainan selepas itu, melebarkan kelebihan mereka kepada 17 mata pada satu peringkat dalam suku ketiga.
Triple double terbaharu Jokic meletakkannya setaraf dengan LeBron James dan Jason Kidd untuk rekod triple-double keempat terbanyak dalam sejarah NBA.
Jokic menerima sokongan jaringan daripada Aaron Gordon, yang mencatatkan 21 mata dengan tujuh rebound, manakala Jamal Murray menambah 18 mata termasuk tiga jaringan tiga mata dalam kemenangan selesa untuk Denver.
Lauri Markkanen memimpin jaringan Utah dengan 27 mata.
Dalam perlawanan lain kelmarin, Stephen Curry mempamerkan persembahan 40 mata keduanya dalam musim ini apablia Golden State Warriors menundukkan New Orleans Pelicans 130-102 di tempat lawan. – AFP