Sunday, October 20, 2024
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jokowi kemuka 4 cadangan tamatkan krisis Gaza

    JAKARTA, 12 NOV – Presiden Indonesia, Joko Widodo mengemukakan empat cadangan untuk menangani krisis di Gaza iaitu gencatan senjata segera, mempercepat bantuan kemanusiaan, mempertanggungjawabkan Israel ke atas kekejaman yang dilakukan dan menyokong penyelesaian dua negara dengan menyambung semula rundingan damai.

    Bercakap pada sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai pencerobohan Israel di Palestin di Riyadh, kelmarin, presiden yang juga dikenali sebagai Jokowi itu menekankan mengenai kepentingan gencatan senjata.

    “Tanpa gencatan senjata, keadaan tidak akan reda. Israel menggunakan naratif ‘mempertahankan diri’ dan terus melakukan pembunuhan terhadap penduduk awam. Ini satu bentuk hukuman kolektif. Kita semua mesti mencari jalan agar Israel segera melaksanakan gencatan senjata,” kata beliau.

    Memandangkan situasi kemanusiaan yang kian meruncing di Gaza, Jokowi menggesa mempercepat bantuan kemanusiaan dan mencadangkan agar OIC membentuk mekanisme bantuan yang lebih mudah dan mampan.

    “Sebagai contoh, Hospital Indonesia di utara Gaza yang terus menjadi sasaran serangan Israel kini kehabisan bahan api sejak semalam. Indonesia minta semua pihak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

    Beliau turut menggesa OIC menggunakan apa jua cara untuk mempertanggungjawabkan Israel ke atas kezaliman yang dilakukan.

    Jokowi turut menekankan mengenai keperluan mendesak untuk meneruskan semula rundingan damai penyelesaian dua negara.

    Sekiranya mekanisme sedia ada terbukti gagal membuahkan hasil, beliau menggalakkan OIC mengadakan proses rundingan baharu dan Indonesia bersedia untuk menyumbang. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 11 November menunjukkan Joko Widodo bercakap semasa mesyuarat tergempar OIC, di Riyadh. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda