JAKARTA, 4 SEPT – Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini memuji sokongan berterusan Vatican City terhadap keamanan di Palestin dan sokongan mereka terhadap penyelesaian dua negara.
Bercakap di Istana Negara di Jakarta semasa lawatan Pope Francis ke negara itu, Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi menegaskan usaha itu penting bagi menyelesaikan konflik yang berlarutan.
“Seperti yang kita semua ketahui, konflik dan peperangan sedang berlaku di pelbagai kawasan di dunia, termasuk di Palestin yang meragut lebih 40,000 nyawa. Peperangan tidak memberi manfaat kepada sesiapa dan hanya membawa penderitaan serta kesengsaraan kepada orang awam,” katanya.
Jokowi menekankan kepentingan menerima perbezaan dan meningkatkan toleransi untuk mempromosikan keamanan global dan mewujudkan dunia yang lebih baik.
Beliau percaya bahawa semangat perdamaian dan toleransi yang diperjuangkan oleh Indonesia dan Vatican amat penting dalam dunia kini.
Pope dalam ucapannya memuji Indonesia atas kemampuannya untuk bersatu walaupun terdapat kepelbagaian, menegaskan bahawa menghormati perbezaan budaya dan ideologi menjadikan kepelbagaian sebagai aset yang bernilai.
Pemimpin itu turut mengecam keganasan yang menyamar sebagai semangat keagamaan, mengulangi komitmen Gereja Katolik terhadap keamanan dan menghormati semua agama serta menyatakan cabaran keamanan global akibat kurang menghormati perbezaan.
“Keamanan boleh dicapai jika semua orang berusaha ke arahnya, sama ada secara individu mahupun kolektif, mengatasi semua bentuk keganasan, perbezaan dan ketidakadilan sosial,” katanya. – Bernama
