JAKARTA, 29 April – Presiden Joko Widodo yang mempertahankan jawatannya pada Pilihan Raya Presiden 2019, selesa mendahului lawannya Prabowo Subianto dengan kelebihan 9.6 juta undi, selepas proses pengiraan undi kini mencapai 50.5 peratus.
Pemerhati politik melihat kelebihan peratusan undi yang diterima Jokowi setakat ini memudahkan beliau mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal 2019-2024.
Mengikut real count atau pengiraan undi menerusi laman web rasmi Komisi Pemilihan Umum (KPU), Jokowi dan pasangannya Ma’aruf Amin, 76, untuk jawatan naib presiden, memperoleh 56.24 peratus (43,436,826 undi) berbanding Prabowo, 67, dan pasangannya, Sandiaga Uno, 49 yang memperolehi 43.76 peratus (33,794,744 undi).
Peratusan itu berdasarkan pengiraan undi melibatkan 411,409 Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat pengundian, daripada keseluruhan 813,350 TPS.
Pada 17 April lepas, sebanyak 77.5 peratus daripada 192,828,520 pengundi yang layak, mengundi pada Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu 2019). Proses pengiraan undi Pemilu 2019 dijangka selesai 22 Mei. – Bernama