BOGOTA, 9 JUN – Aktres dan duta khas PBB untuk pelarian Angelina Jolie semalam bertemu dengan Presiden Colombia Ivan Duque untuk memperjuangkan kira-kira 20,000 kanak-kanak penghijrah Venezuela dengan status tidak pasti selepas ibu bapa mereka melarikan diri dari negara mereka yang dibelenggu krisis.
Dalam satu mesyuarat di bandar pelabuhan Cartagena, aktres Amerika itu menggesa Duque supaya menyelesai masalah perundangan yang menghadapi kanak-kanak memandangkan Colombia tidak mengiktiraf kanak-kanak yang dilahirkan di wilayahnya sebagai rakyat mereka.
“Presiden dan saya bercakap mengenai risiko status tidak bernegara untuk lebih 20,000 kanak-kanak Venezuela,” kata Jolie.
Duque, yang telah menyokong kempen tekanan antarabangsa ke atas Presiden Venezuela Nicolas Maduro, juga menekankan keperluan terdesak untuk menyelesaikan status kanak-kanak.
Sejak Caracas dan Bogota memutuskan hubungan diplomatik, ibu bapa mendapati sukar untuk mendaftar anak-anak mereka di pejabat konsul Venezuela. Ramai ibu bapa berada dalam situasi tidak menentu, meninggalkan status anak mereka tidak pasti, walaupun mereka mempunyai kemudahan penjagaan asas.
Menyelesai status mereka ‘merupakan satu cara kemanusiaan untuk memberikan mereka peluang dan faedah,’ kata Duque.
Jolie, selepas melawat kawasan sempadan, memuji layanan Colombia ke atas penghijrah Venezuela, aliran masuk penghijrah terbesar dalam sejarah Colombia. – AFP
