Saturday, April 26, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jollof’ tetap di hati masyarakat Lagos

    LAGOS – Di Nigeria, nasi ‘jollof’ bukan hanya satu hidangan yang lazat di Afrika Barat – ia juga adalah satu obsesi negara itu.

    Puluhan cef-cef terkemuka berkumpul baru-baru ini bagi menyambut perayaan jollof di Lagos, yang memperlihatkan kehebatan masing-masing dalam pembuatan hidangan nasi itu, mempunyai rasa masam bertomato, yang mana telah menarik ratusan pengunjung yang kelaparan untuk menikmatinya.

    Imoteda Aladekomo, seorang cef berusia 31 tahun yang telah membuat hidangan jollof selama empat tahun, telah cuba untuk mencipta semula hidangan itu dalam bentuk berbeza, mewujudkan beberapa varian perintis melalui syarikatnya Eko Street Eats.

    “Ia sangat popular kerana mudah untuk dibuat,” katanya sambil menyediakan kotak makanan bawa-baliknya di festival jollof itu.

    “Beras adalah sangat mudah untuk didapati di sini manakala bahan-bahan lainnya adalah sukar.

    Orang ramai menunggu hidangan nasi jollof semasa festival nasi Jollof di Lagos. – AFP
    Dua orang wanita berpelukan berhampiran tanda gergasi ‘Jollof’, satu hidangan popular di Nigeria dan juga di seluruh Afrika Barat, semasa festival nasi Jollof itu berlangsung baru-baru ini. – AFP

    Setiap acara perlu mempunyai hidangan nasi jollof dan setiap hari Ahad, masyarakat akan menikmatinya, dan mencari-cari hidangan ini pada sepanjang minggu,” tambahnya.

    “Nasi jollof sentiasa menjadi rebutan – berbanding McDonald’s atau apa sahaja, kerana hidangan ini akan mengimbau masa lalu di zaman kanak-kanak mereka.”

    Versi peribadinya, masakan goreng disaluti serbuk roti, kemudian dihidangkan dengan sos plantain dan juga lada merah berapi, telah menarik para penggemar jollof di festival itu. Mo Alatise, 30, seorang cef perseorangan, juga telah didatangi ramai pengunjung dengan cara gabungan hidangannya itu.

    “Kami cuba membuat pembaharuan terhadap resipi tempatan ini. Saya membayangkan hidangan seperti negara lain – hidangan ‘gnocchi’, masakan tradisional dari Itali, akan dapat dicampurkan dengan hidangan jollof,” katanya kepada AFP.

    “Atau semangkuk nasi dari Asia – tetapi bukan beras putih, saya membuatnya dengan jollof,” katanya.

    “Saya pernah ke Itali dan saya banyak membaca dan membuat penyelidikan. Secara harfiahnya, kami sangat berbangga yang ia adalah satu hidangan kegemaran di negara ini. Kami sangat obses dengannya.”

    Asal-usul hidangan yang tersendiri ini sememangnya sangat lazat dan ia tidak boleh dipertikaikan lagi.

    Perkataan jollof ini berkaitan dengan ‘Wollof’, bahasa yang digunakan di Senegal di mana hidangannya juga sangat popular. Selain Nigeria dan Senegal, varian resipi hidangan ini sangat disukai oleh penduduk di seluruh Afrika Barat.

    “Ada pertelingkahan besar mengenai dari mana ia berasal. Saya telah mencuba jollof dari Senegal dan ia kurang enak. Saya masih mengatakan bahawa jollof kami adalah yang terbaik – seperti saya ini berat sebelah,” kata Alatise.

    ‘Jollof’ adalah satu hidangan nasi yang mempunyai rasa masam dan bertomato.
    Hidangan nasi ‘Jollof’ telah menjadi hidangan kegemaran masyarakat di Afrika Barat, malah ia juga adalah satu obsesi di Nigeria.

    Tetapi isu itu telah diketepikan pada tahun 2014 apabila cef selebriti dari Britain, Jamie Oliver, cuba mengadaptasi hidangan tempatan itu dengan bahan-bahan asing termasuklah pasli dan lemon – memberi inspirasi buat Ozoz Sokoh, seorang blogger makanan di Lagos, untuk mengadakan festival ini pada tahun ini.

    “Ini berlaku apabila Jamie Oliver berjaya menghasilkannya dan ia tidak kelihatan seperti jollof,” kata Sokoh, seorang ahli geologi berusia 42 tahun dan pengarang blog bagi Kitchen Butterfly.

    “Walaupun isu jollof antara Ghana dan Nigeria masih wujud, namun mereka bersama mengatakan; ‘Anda tidak boleh menjajah periuk nasi kami’.”

    ‘Perang jollof’ telah mencapai ke tahap kemuncaknya apabila penyanyi dari Ghana, Deborah, telah mengeluarkan single lagunya bertajuk ‘Ghana Jollof’, yang mana menuduh resipi daripada Nigeria itu ‘aneh dan pelik’.

    Dengan mengetepikan kontroversi itu, Sokoh berkata kasih sayang masyarakat terhadap hidangan itu dapat menyatukan warga Nigeria dan Afrika Barat ke seluruh dunia.

    “Ia membawa kebanyakan negara bersatu – bukan hanya di Afrika Barat, tetapi negara-negara lain seperti selatan Amerika dan bahagian negeri di Mexico,” katanya.

    Dan sementara perkhidmatan penghantaran makanan yang menawarkan hidangan kegemaran antarabangsa seperti sushi dan piza sedang berkembang pesat di bandar-bandar besar Nigeria, jollof masih kekal istimewa di hati penduduk dan pemuda-pemuda di negara itu.

    “Kebanyakan daripada kami, golongan muda, telah lupa dengan makanan tredisional kami,” kata Jane Ibitola, penasihat kewangan berusia 32 tahun dari bandar minyak selatan Port Harcourt.

    “Tetapi apabila anda berada jauh dari sini, anda pasti akan menghargai dan merinduinya semula.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda