Monday, April 28, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jom beriadah di Taman Rekreasi Bukit Dadap

    Oleh Yusrin Junaidi

    Sejak kebelakangan ini, aktiviti hiking atau mendaki bukit semakin popular dan sudah menjadi satu trend yang melangkaui segenap lapisan masyarakat tanpa mengira faktor umur.

    Boleh dikatakan setiap hujung minggu, bukit-bukit dalam negara ‘dibanjiri’ orang ramai yang mendambakan kehijauan dan keindahan alam sekitar jauh daripada kesibukan bandar.

    Dalam usaha ke arah memantapkan lagi perkhidmatan dan meningkatkan nilai tambah para pelancong ke negara ini, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kampung Kilanas telah memperkenalkan lagi pakej baharu dengan adanya Taman Rekreasi Bukit Dadap, Kilanas yang baharu saja dirasmikan hari ini.

    Program aktiviti mendaki bukit terutamanya bagi penggemar aktiviti mendaki dan pencinta alam semula jadi itu berpotensi menjadi daya tarikan para pelancong.

    Taman Rekreasi Bukit Dadap Kilanas yang terletak di Jalan Tutong ini mempunyai keluasan kawasan melebihi 5 hektar yang masih diliputi hutan hijau semula jadi.

    Laluan trek Bukit Dadap yang telah disediakan mempunyai jarak kira-kira 12 km yang dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu laluan-laluan bukit dan laluan-laluan wasai.
    Aktiviti jualan produk kampung seperti makanan, hasil pembuatan produk seperti parang, pameran gasing dan persembahan tradisi permainan gendang dan guling tangan juga ditawarkan oleh MPK Kampung Kilanas semasa perasmian bukit itu, kelmarin.

    Tempat-tempat tarikan utama taman ini termasuk sekurang-kurangnya lapan wasai atau air terjun, tiga puncak bukit tinggi, sebuah tasik dan sebuah gua.

    Laluan trek Bukit Dadap yang telah disediakan mempunyai jarak kira-kira 12km yang dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu laluan-laluan bukit dan laluan-laluan wasai bagi tahap ekstrem, sederhana dan biasa juga disediakan.

    Perasmian Taman Rekreasi Bukit Dadap

    Taman Rekreasi Bukit Dadap (TRBD)sudah lama dibuka, namun perasmian hari ini telah mendorong Bukit Dadap dimajukan dengan nilai tambah yang diusahakan oleh para sukarelawan yang terdiri daripada anak-anak kampung.

    Pada bulan Ogos baru-baru ini, satu kertas kerja pelaksanaan TRBD telah disediakan dan telah dipersetujui oleh MPK Kilanas. Ia seterusnya dihadapkan kepada Jabatan Daerah Brunei dan Muara pada September lalu dan taman yang ada sekarang diselaraskan dengan peranan dan fungsi MPK Kilanas dan diterima pakai sebagai produk 1K1P.

    Menurut Awang Ameerulbahrynee bin Haji Awang Abdul Hamid, dengan perasmian hari ini, TRBD diharapkan dapat menangani cabaran-cabaran yang timbul dan beroperasi secara berterusan. TRBD perlu terus dipertingkatkan dan ditambah nilai sehingga matlamat untuk menjadikannya sebagai taman rekreasi yang diiktiraf sebagai destinasi pelancongan negara akan tercapai sepertimana yang telah digariskan dalam kertas kerja pelaksanaan TRBD.

    Turut dilancarkan bersempena perasmian TRBD adalah Tabung TRBD bagi orang ramai yang berkesudian untuk memberikan derma dalam sama-sama memajukan lagi TRBD di masa akan datang. Pelancaran tabung berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jenaral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohammad Yusof.

    Aktiviti-aktiviti Bukit Dadap

    Selain menawarkan aktiviti mendaki, iaitu trek keseluruhan sepanjang 12km, MPK Kilanas juga menawarkan dan menyelenggarakan aktiviti jualan produk kampung seperti makanan, hasil pembuatan produk seperti parang, pameran gasing dan persembahan tradisi permainan gendang dan guling tangan.

    Untuk memeriahkan lagi acara, beberapa pertandingan untuk penduduk kampung juga dianjurkan. Salah satunya ialah perlawanan uji ketahanan kecergasan untuk belia-belia berumur 18 tahun hingga 30 tahun bagi merebut gelaran Wang Kamaauddin Kilanas.

    Menurut mereka, Wang Kamaauddin merupakan cerita sejarah generasi terdahulu yang juga merupakan seorang perwira legenda yang gagah perkara berasal daripada puak Kedayan. Dalam pertandingan berkenaan, setiap peserta dikehendaki menjalani tiga ujian ketahanan iaitu mengangkat kayu berat, sit ups sebanyak 30 kali dan menahan Tumpong air. Tumpong air adalah sejenis alat tradisi yang dibuat daripada sebatang buluh tebal dan besar yang digunakan oleh puak Kedayan untuk membawa bekalan air ke rumah dari telaga atau sungai.

    Selain itu, beberapa lagi perlawanan juga diadakan iaitu mengupas dan memotong buah nenas, serta perlawanan membuka dan mengukur kelapa menggunakan alat ‘Kukuran’.

    Inisiatif MPK Kilanas itu merupakan fasa berterusan bagi mengembang majukan lagi ekonomi melalui pelancongan di samping mempromosikan aktiviti sihat serta menjadikannya tempat riadah bagi seisi keluarga.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda