Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Orang ramai diseru untuk tampil ke hadapan bagi sama-sama menyumbang bekalan darah di Negara Brunei Darussalam dengan mengambil bahagian dalam kempen-kempen menderma darah.
Untuk itu, Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan akan mengadakan kempen-kempen derma darah terbuka kepada orang ramai pada 17 Julai di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas bermula daripada pukul 9 pagi hingga pukul 11.30 pagi dan pukul 1.30 petang hingga pukul 2 petang.
Kempen turut diadakan pada 20 Julai di UNICORP Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Beribi bermula pukul 9 pagi hingga pukul 2 petang.
Selain itu, Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan juga akan mengadakan kempen derma darah pada 21 Julai di Persatuan Foochow, Kuala Belait bermula pukul 9 pagi hingga pukul 2 petang.
Pada masa yang sama, orang ramai adalah juga dialu-alukan untuk menderma darah untuk sama-sama membantu mengekalkan bekalan stok darah dengan cara datang terus ke Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi menderma darah pada waktu bekerja bermula pukul 8 pagi hingga 11.30 pagi dan pukul 1.30 petang hingga 3.30 petang.
Para penderma darah yang berminat digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen derma darah berkenaan.


