Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Kementerian Kesihatan, melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama menyertai beberapa kempen derma darah yang akan diadakan pada minggu ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, kempen-kempen menderma darah akan diadakan pada 4 Mac ini bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari anjuran The Bruneian di Knowledge Hub, Anggerek Desa, Technology Park, Simpang 32-37, Berakas, Bandar Seri Begawan dan pada 6 Mac bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang dianjurkan oleh UNICORP Sdn Bhd di premisnya di Perindustrian Beribi II.
Pusat Pendermaan Darah menyatakan bahawa pusat berkenaan pada masa ini, mengalami bekalan darah rendah bagi kumpulan darah khususnya O positif, A positif dan AB positif serta menyarankan kepada orang ramai untuk tampil menderma darah bagi menampung permintaan pemindahan darah pesakit-pesakit di semua hospital kerajaan.
Kenyataan mengingatkan orang ramai untuk mengimbas kod QR dan mengamalkan penjarakan sosial di tempat-tempat kempen derma darah diadakan.
Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan bagi mengadakan Kempen Derma Darah, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745 / 6001 / 6002 atau e-mel kepada bloodbank@moh.gov.bn dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).