Bapa kepada pelakon, Angelina Jolie meluahkan rasa kecewa apabila anak perempuannya itu mengecam tindakan rejim zionis yang menyerang Semenanjung Gaza selain menunjukkan sokongan terhadap Palestin.
Menurut mStar, Jon Voight yang juga seorang pelakon berkata, Angelina gagal memahami tentang kebenaran di sebalik konflik dan sejarah di antara Israel dan Palestin.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram, pemenang Anugerah Oscar berusia 84 tahun itu dilihat duduk di hadapan bendera Amerika Syarikat sambil meluahkan kata-kata berpihak kepada Yahudi.
Sebelum ini, Angelina, 48, memuat naik hantaran menunjukkan solidariti terhadap masyarakat di Palestin dan mengecam tindakan Israel membunuh orang awam terutamanya kanak-kanak dan wanita sejak peperangan tercetus pada 7 Oktober lalu.
Untuk rekod, Voight berkahwin dengan ibu Angelina, iaitu pelakon Marcheline Bertrand, pada tahun 1971.
Mereka dikurniakan dua anak, James dan Angelina tetapi bercerai pada tahun selepas aktres itu dilahirkan.
Sebelum ini, hubungan anak beranak ini pernah berantakan pada awal tahun 2000 namun mereka berdamai 11 tahun kemudian.
Bagaimanapun hubungan mereka kembali retak selepas Angelina memutuskan bercerai dengan bekas suaminya, pelakon Brad Pitt pada 2016. – Agensi