KUALA LUMPUR, 10 JUN – Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Ng Tze Yong, dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan dan tidak melalui proses pemulihan kecederaannya secara bersendirian selepas disahkan perlu menjalani pembedahan ligamen krusiat anterior (ACL).
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan Malaysia, Kenneth Jonassen, berkata meskipun Tze Yong memiliki kekuatan mental yang tinggi, namun penting untuk beliau memahami bahawa mendapatkan bantuan bukanlah satu kelemahan.
“Pada akhirnya, semuanya bergantung kepada atlet itu sendiri, sentiasa dapatkan bantuan.
Kadang-kadang apabila berada dalam situasi itu, seseorang akan berasa seperti bersendirian dengan masalah sendiri, tetapi hulurkan tangan.
“Meminta bantuan bukan kelemahan. Kita perlu ingat, ia sebenarnya satu kekuatan dan pasti kami akan terus memantau keadaannya sepanjang masa,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan Jumaat lepas memaklumkan Tze Yong, 25, terpaksa menarik diri daripada aksi pusingan pertama menentang pemain Hong Kong Angus Ng Ka Long pada Masters Malaysia 2025 bulan lepas, susulan kesakitan pada bahagian lutut.
BAM memaklumkan pemeriksaan perubatan terperinci termasuk imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) mengesahkan beliau mengalami kecederaan ACL yang memerlukan pembedahan.
Walaupun berdepan cabaran besar, Tze Yong dalam kenyataan sama berkata beliau kekal optimis dan komited terhadap proses pemulihan.
Sementara itu, Jonassen berkata pemenang pingat perak perseorangan lelaki Sukan Komanwel 2022 itu perlu memberi tumpuan kepada proses pemulihan secara berperingkat.
“Saya rasa penting untuk memikirkan langkah demi langkah. Kalau sekarang saya lihat sembilan hingga 12 bulan ke hadapan, itu terlalu jauh.
“Sudah tentu, kekuatan dalaman amat diperlukan untuk bangkit semula dan saya percaya beliau mempunyai keupayaan itu,” katanya. – Bernama