Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jongkong emas ditinggalkan untuk Palang Merah?

    GENEVA, 28 OGOS – Sejumlah 120 jongkong emas yang ditemui dalam sebuah kereta api Switzerland kini diberikan kepada Palang Merah, menurut pihak pendakwa raya pada Jumaat, selepas usaha mengesan pemiliknya menemui jalan buntu.

    Pada Oktober 2019, seorang pekerja menemui bungkusan dalam sebuah kereta api yang sedang dalam perjalanan dari St Gallen ke Lucerne, kata pejabat pendakwa raya wilayah Lucerne dalam satu kenyataan.

    Bungkusan itu, antara lain, dilabel dengan ‘barang berharga ICRC’, merujuk kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah yang berpangkalan di Geneva.

    “Bungkusan itu mengandungi 120 jongkong emas yang dilabel dengan logo dan nombor siri,” kata kenyataan itu sambil menambah jumlah berat bungkusan itu ialah 3.7 kilogram.

    Ia tidak menyatakan nilai jongkong emas itu secara keseluruhan, tetapi jongkong emas 24 karat kini dijual pada harga sekitar AS$60,000 sekilo.

    “Walaupun siasatan sudah dijalankan secara meluas, pemilik jongkong emas itu masih tidak dapat ditemukan,” kata kenyataan itu.

    “Oleh itu, pemilik emas mahupun kaitan dengan kemungkinan jenayah harta benda tidak dapat disahkan,” dengan pendakwa menutup kes itu.

    “Memandangkan jongkong emas itu ditemui dalam bungkusan yang ditujukan kepada ICRC, boleh diandaikan bahawa pemilik yang tidak dikenali itu mahu menyerahkan emas itu kepada pertubuhan itu. Justeru, ia diserahkan kepada ICRC,” tambahnya. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda